Kita Boleh Menerangkan, Tapi Bukan Menentukan
Published:
Updated:
Aku ada satu prinsip yang aku pegang.
Aku tak suka paksa orang.
Kalau aku rasa sesuatu tu bagus, aku akan bagitahu. Kalau aku nampak ada cara yang lebih baik, aku akan cadangkan. Tapi akhirnya, keputusan tetap milik kau.
Aku tak rasa aku ada hak untuk paksa orang ikut apa yang aku percaya.
Dalam kehidupan peribadi, aku selalu nampak orang cuba "mengubah" orang lain.
Pasangan kena ikut cara dia.
Kawan kena fikir macam dia.
Ahli keluarga kena ikut cakap dia.
Bagi aku, itu dah masuk kepada manipulasi.
Mungkin niat dia baik. Mungkin apa yang dia cakap memang betul.
Tetapi setiap orang ada pengalaman hidup, keutamaan dan cara berfikir yang berbeza. Kita tak boleh menganggap apa yang sesuai untuk kita, mesti sesuai untuk semua orang.
Kalau penerangan kita masuk akal, orang akan faham.
Kalau ia tak masuk akal untuk mereka, itu juga hak mereka.
Aku lebih suka orang membuat keputusan kerana mereka faham, bukan kerana mereka dipaksa.
Kalau dilihat dari sudut seorang Muslim pula, prinsip ini sebenarnya bukan benda baru.
Allah sendiri telah menyebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 256:
"Tidak ada paksaan dalam agama."
Ayat ini memberi satu pengajaran yang besar.
Tugas kita bukan memaksa orang.
Tugas kita ialah menyampaikan.
Sebagai contoh, kita boleh cakap bahawa solat itu adalah tanggungjawab seorang Muslim.
Selesai.
Itu bahagian kita.
Sama ada orang itu mahu menerima, memahami atau mengamalkannya, itu adalah keputusan dia sendiri.
Kita bukan Tuhan untuk memaksa hati manusia.
Yang kita mampu buat hanyalah mengajak, memberi penerangan dan berkongsi sebab kenapa sesuatu itu diperintahkan.
Hidayah bukan berada di tangan kita.
Sebab itu aku kurang selesa apabila ada orang menggunakan rasa bersalah, ugutan atau tekanan untuk memaksa orang berubah.
Perubahan yang lahir kerana kefahaman biasanya lebih ikhlas dan lebih berkekalan daripada perubahan yang lahir kerana dipaksa.
Dalam bisnes pula, ceritanya sedikit berbeza.
Kalau seorang client datang kepada aku untuk minta consultation, itu memang kerja aku.
Aku akan bagi pandangan profesional.
Aku akan terangkan risiko.
Aku akan explain kenapa satu pilihan lebih baik daripada pilihan lain.
Kadang-kadang aku akan cakap terus,
Kalau ikut pengalaman saya, saya tak recommend buat macam ni.
Sebab itu memang tanggungjawab aku sebagai consultant.
Tetapi walaupun begitu...
Keputusan terakhir tetap bukan pada aku.
Ia tetap pada stakeholder.
Dia yang keluarkan duit.
Dia yang tanggung risiko.
Dia yang akan hidup dengan keputusan tersebut.
Aku cuma bagi advisory berdasarkan pengalaman, logik dan apa yang aku nampak.
Kalau akhirnya dia memilih jalan yang berbeza daripada cadangan aku, aku hormati keputusan itu.
Dalam hidup pun sama.
Kita perlu ada pendirian.
Kalau semuanya kita ikut cakap orang, kita tak akan ke mana.
Ada masanya kita perlu buat keputusan yang tegas.
Kita timbang apa yang membantu kita bergerak ke hadapan.
Kita nilai apa yang memberi kesan positif kepada hidup dan kerja kita.
Dan perkara yang hanya melambatkan, mengganggu fokus atau tidak lagi memberi nilai...
Kita letakkan ke tepi.
Bukan sebab kita benci.
Bukan sebab ia salah.
Tetapi sebab kita memilih untuk terus bergerak.
Tak semua benda perlu dibawa sekali dalam perjalanan hidup.
Kadang-kadang, melepaskan sesuatu juga adalah satu keputusan yang baik.
Sebab itu juga aku tak minat copywriting yang terlalu over.
Yang menjanjikan benda mustahil.
Yang menggunakan ketakutan semata-mata.
Yang cuba membuatkan orang rasa mereka "mesti beli sekarang kalau tak hidup akan hancur."
Ya, teknik macam tu mungkin berkesan.
Tetapi ia bukan cara yang aku nak bina bisnes.
Aku lebih suka orang faham masalah mereka.
Faham pilihan yang ada.
Faham kenapa satu solusi lebih sesuai berbanding yang lain.
Kemudian mereka sendiri membuat keputusan.
Kalau akhirnya mereka pilih untuk bekerja dengan aku, aku tahu keputusan itu dibuat secara sedar.
Bukan sebab aku berjaya memanipulasi emosi mereka.
Aku percaya pelanggan yang datang kerana faham nilai yang kita beri akan menjadi pelanggan yang lebih baik daripada pelanggan yang datang kerana terpengaruh dengan janji yang terlalu indah.
Aku percaya bisnes yang sihat dibina atas tiga perkara.
-
Logik.
-
Kepercayaan.
-
Dan kebebasan untuk membuat keputusan.
Bukan manipulasi.
Bukan paksaan.
Bukan janji yang terlalu indah untuk menjadi kenyataan.
Kalau servis aku memang sesuai untuk kau, kita akan bekerjasama.
Kalau tak sesuai, tak mengapa.
Mungkin ada orang lain yang lebih tepat untuk selesaikan masalah kau.
Dan aku rasa itu lebih baik daripada menjual sesuatu yang sebenarnya tak memberi nilai kepada pelanggan.
Sebab pada akhirnya, aku bukan mencari sekadar jualan.
Aku lebih suka membina kepercayaan.
Dan kepercayaan itu tak pernah lahir daripada paksaan.
