Bila Pemilik Bisnes Sendiri Tidak Yakin Dengan Sistem Yang Dibina
Published:
Updated:
Ada satu situasi yang saya beberapa kali jumpa sepanjang membangunkan sistem untuk bisnes.
Pemilik bisnes datang dengan satu masalah. Mereka nak buat sistem untuk menguruskan operasi, mengurangkan kerja manual atau menyusun proses yang sebelum ini dibuat menggunakan Excel dan WhatsApp.
Selepas beberapa perbincangan, flow dipersetujui. Developer mula membina sistem berdasarkan keputusan tersebut.
Sistem siap. Testing dibuat. Sistem dilancarkan dan mula digunakan dalam operasi sebenar.
Tetapi beberapa minggu kemudian, founder mula meminta perubahan.
Pada awalnya, perubahan itu masih munasabah. Ada perkara yang hanya boleh dikenal pasti selepas sistem digunakan dalam situasi sebenar. Developer pun biasanya menyediakan tempoh support untuk bugfix dan penambahbaikan yang dipersetujui.
Masalah mula timbul apabila perubahan tersebut tidak stop, tapi jadi endless.
Beberapa bulan kemudian, flow yang sebelum ini dipersetujui mula dipersoalkan. Ada orang luar memberi cadangan lain. Founder mula nak ubah cara sistem beroperasi.
Apabila jualan menurun, sistem dikatakan tidak boleh digunakan. Bila transaksi meningkat dan jualan kembali baik, sistem dianggap sudah cukup.
Lepas tu jualan menurun semula. Ayat yang sama berulang.
Sistem tak function, kenapa tak buat betul-betul?
Akhirnya, developer diminta membuat lebih banyak perubahan, sedangkan bayaran untuk kerja sebelumnya pun mula tertangguh.
Bagi saya, situasi ini bukan sekadar masalah komunikasi antara client dan developer.
Ada isu yang lebih besar di sebaliknya.
Sistem Dibina Berdasarkan Keputusan, Bukan Andaian Developer
Apabila sebuah bisnes meminta developer membina sebuah sistem, developer sebenarnya sedang menterjemahkan keputusan bisnes kepada satu bentuk operasi yang boleh dilaksanakan oleh software.
Contohnya:
- Macam mana order diproses?
- Siapa yang perlu approve transaksi?
- Bila komisen kena dikira?
- Macam mana refund di-handle?
- Siapa yang bertanggungjawab bila ada kesilapan?
Semua ini ialah keputusan operasi bisnes.
Developer boleh mencadangkan pendekatan teknikal yang lebih sesuai, tetapi pemilik bisnes tetap perlu menentukan bagaimana operasi mereka sepatutnya berjalan.
Developer tidak semestinya tahu semua perkara tentang bisnes tersebut. Mereka tidak berada dalam operasi harian, tidak mengurus pekerja dan tidak berhadapan dengan pelanggan seperti pemilik bisnes sendiri.
Sebab itu, proses memahami requirement dan mengesahkan flow sebelum development sangat penting.
Apabila flow sudah dipersetujui, developer akan membina sistem berdasarkan keputusan tersebut.
Maksudnya,
Sistem yang siap itu mencerminkan keputusan yang dibuat ketika proses development.
Kalau keputusan tersebut berubah selepas go-live, tak semestinya sistem asal dibina dengan salah.
Mungkin keputusan asal memang perlu diperbaiki selepas melihat keadaan sebenar operasi.
Tetapi kedua-dua perkara ini perlu dibezakan.
Bug, Penambahbaikan dan Perubahan Proses Bukan Perkara Yang Sama
Saya rasa salah satu punca konflik antara pemilik bisnes dan developer ialah kegagalan membezakan tiga jenis permintaan.
1. Bug atau kesilapan sistem
Contohnya, sistem sepatutnya mengira komisen sebanyak 10%, tetapi jumlah yang dipaparkan salah.
Ini ialah masalah teknikal. Developer perlu siasat dan membetulkannya mengikut skop tanggungjawab yang dipersetujui.
2. Penambahbaikan penggunaan
Contohnya, pekerja mengambil masa terlalu lama untuk melengkapkan satu transaksi kerana susunan paparan kurang sesuai.
Ini mungkin memerlukan enhancement pada interface atau user experience (UI/UX).
3. Perubahan proses bisnes
Contohnya, sebelum ini semua order diluluskan oleh seorang manager. Sekarang pemilik mahu dua orang manager meluluskan setiap order.
Ini bukan bug.
Ini ialah perubahan keputusan operasi yang mungkin memerlukan perubahan pada database, permission, workflow dan reporting.
Ketiga-tiganya mungkin menghasilkan perubahan pada software, tetapi punca dan kosnya berbeza.
Masalah berlaku apabila semua permintaan dianggap sebagai bug atau tanggungjawab developer untuk diselesaikan secara percuma.
Pemilik bisnes berhak mengubah cara operasi mereka. Tetapi perubahan itu tetap mempunyai kos dari segi masa, pembangunan dan kesan kepada proses sedia ada.
Pertukaran keputusan bukan satu kesalahan. Mengharapkan orang lain menanggung semua kesan daripada perubahan tersebut ialah masalahnya.
Sistem Tidak Semestinya Bertanggungjawab Apabila Jualan Menurun
Ada satu lagi perkara yang saya rasa perlu difahami.
Sistem operasi bisnes dan prestasi jualan ialah dua perkara yang berkait, tetapi bukan perkara yang sama.
Katakan sebuah bisnes mengalami perubahan jualan seperti berikut:
| Bulan | Jualan |
|---|---|
| Januari | RM20,000 |
| Februari | RM35,000 |
| Mac | RM60,000 |
| April | RM25,000 |
Adakah sistem yang dibina menjadi punca jualan turun naik?
Belum tentu.
Jualan dipengaruhi oleh banyak faktor seperti marketing, customer acquisition, harga produk, permintaan pasaran, prestasi sales team dan faktor bermusim.
Sistem boleh membantu proses jualan. Contohnya, mengurangkan kesilapan order, mempercepatkan transaksi dan memastikan rekod pelanggan lebih tersusun.
Tetapi sistem tidak secara automatik menghasilkan permintaan (demand) daripada pelanggan.
Kalau sistem berfungsi seperti yang ditetapkan, transaksi direkodkan dengan betul dan proses berjalan tanpa masalah teknikal, penurunan jualan tidak boleh terus dianggap sebagai kegagalan sistem.
Kita perlu melihat data terlebih dahulu.
Adakah jumlah transaksi gagal meningkat? Adakah pelanggan tidak dapat melengkapkan pembayaran? Adakah terdapat masalah pada proses checkout?
Kalau ada bukti bahawa sistem menghalang transaksi, itu memang isu yang perlu diselesaikan.
Tetapi kalau jualan turun tanpa sebarang bukti masalah teknikal, kita perlu melihat faktor lain.
Jangan gunakan prestasi jualan sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada sesuatu sistem berfungsi atau tidak.
Pemilik Bisnes Juga Perlu Bertanggungjawab Terhadap Keputusan Sendiri
Ini bahagian yang saya rasa paling penting.
Pemilik bisnes tidak perlu tahu bagaimana developer menulis code, menyusun database atau membina API.
Tetapi mereka perlu tahu bagaimana bisnes mereka beroperasi.
Apabila mereka membuat keputusan untuk menggunakan sesuatu workflow, mereka perlu bersedia untuk menguruskan operasi berdasarkan workflow tersebut.
Of course, keputusan boleh berubah.
Selepas sistem digunakan, mungkin ada proses yang tidak sesuai. Mungkin ada situasi yang tidak dijangka semasa requirement gathering. Mungkin juga ada pendekatan lain yang lebih baik.
Itu perkara biasa.
Tetapi setiap perubahan perlu dinilai berdasarkan kesannya.
Contohnya, apabila founder nak ubah cara komisen dikira, developer perlu melihat macam mana perubahan itu akan beri kesan terhadap transaksi lama, laporan kewangan dan rekod pembayaran.
Bukan sekadar menukar satu formula.
Begitu juga apabila founder nak mengubah proses order, approval atau refund.
Perubahan pada satu bahagian mungkin memberi kesan kepada bahagian lain.
Sebab itu, pemilik bisnes perlu mempunyai pendirian terhadap keputusan operasi mereka sendiri.
Bukan bermaksud tidak boleh menerima cadangan atau mengubah keputusan. Tetapi setiap keputusan perlu dibuat dengan memahami sebab dan kesannya.
Kalau setiap kali ada orang luar memberi cadangan, keseluruhan flow nak diubah, macam mana sistem itu nak jadi stabil?
Akhirnya, pekerja sendiri tidak tahu proses mana yang perlu diikuti.
Developer pula terpaksa membina semula perkara yang sebelum ini sudah dipersetujui.
Software Boleh Membantu Menyusun Operasi, Tetapi Tidak Boleh Menggantikan Disiplin Pengurusan
Ada pemilik bisnes yang melihat sistem sebagai satu penyelesaian kepada masalah operasi.
Mereka nak ada sistem supaya kerja lebih tersusun, transaksi lebih mudah dipantau dan pekerja boleh mengikuti proses yang sama.
Itu memang antara tujuan utama membangunkan sistem.
Tetapi ada satu perkara yang sering terlepas pandang.
Software hanya melaksanakan rules dan proses yang telah ditentukan.
Kalau proses bisnes tidak jelas, sistem akan dibina berdasarkan proses yang tidak jelas.
Kalau keputusan sering berubah, sistem akan sentiasa memerlukan perubahan.
Kalau pekerja tidak mengikuti workflow, data yang masuk ke dalam sistem juga mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar operasi.
Software boleh membantu kuatkuasakan proses. Tetapi ia tidak boleh menggantikan disiplin orang yang menggunakannya.
Malah, apabila sesuatu proses mula direkodkan secara sistematik, kelemahan operasi yang sebelum ini tak nampak boleh menjadi lebih jelas.
Contohnya, sebelum menggunakan sistem, founder mungkin tidak sedar berapa banyak order yang tertangguh sebab tiada rekod yang konsisten.
Selepas sistem digunakan, semua order yang belum diproses dapat dilihat.
Sistem tidak semestinya mencipta masalah tersebut. Ia mungkin cuma menjadikan masalah itu lebih mudah dikenal pasti.
AI Boleh Bina Software, Tetapi Siapa Yang Buat Keputusan?
Sekarang, dengan adanya AI, semakin ramai orang boleh membina software tanpa perlu menulis setiap baris code sendiri.
Kita boleh minta AI membina sistem order, menguruskan transaksi, membuat kiraan komisen atau menyediakan dashboard untuk operasi bisnes.
Tetapi ada satu perkara yang AI masih perlukan:
Keputusan daripada orang yang membina sistem tersebut.
Contohnya, apabila membina sistem yang ada transaksi, AI mungkin akan bertanya:
- Apa yang berlaku apabila transaksi berjaya dibayar?
- Adakah order terus bertukar kepada status confirmed?
- Bagaimana jika pembayaran masih pending?
- Apa yang berlaku apabila transaksi expired?
- Bilakah stok perlu ditolak?
- Bagaimana jika pelanggan meminta refund selepas pembayaran?
AI boleh membantu menulis code untuk semua keadaan ini.
Tetapi AI tidak tahu bagaimana bisnes anda sepatutnya beroperasi melainkan perkara tersebut diterangkan dengan jelas.
Siapa yang tentukan bila order dianggap selesai? Bila komisen boleh dibayar? Siapa yang bertanggungjawab meluluskan refund?
Semua itu masih memerlukan keputusan manusia.
Sebab itu, menggunakan AI untuk membina sistem tidak bermaksud kita boleh mengabaikan proses memahami operasi bisnes.
Malah, kalau orang yang menggunakan AI sendiri tidak faham apa yang sedang dibina, hasilnya boleh menjadi lebih bermasalah.
AI mungkin berjaya menghasilkan aplikasi yang nampak lengkap. Dashboard ada, button berfungsi, transaksi boleh direkodkan dan laporan boleh dipaparkan.
Tetapi adakah logic di sebaliknya betul?
Adakah status transaksi dikendalikan dengan tepat?
Adakah komisen dikira berdasarkan transaksi yang layak?
Adakah refund akan update rekod yang berkaitan?
Sesuatu sistem boleh nampak berfungsi tetapi sebenarnya melaksanakan keputusan yang salah.
AI boleh mempercepatkan proses development. Tetapi ia tidak secara automatik menjadikan keputusan bisnes lebih tepat.
Kalau keputusan asal salah, AI boleh membantu kita membina software yang melaksanakan keputusan salah itu dengan lebih cepat.
Teknologi berubah. Cara kita menulis code mungkin berubah. Tetapi keperluan untuk memahami operasi bisnes dan membuat keputusan yang betul masih kekal sama.
Apa Yang Sepatutnya Berlaku Sebelum Meminta Perubahan?
Pada pandangan saya, pemilik bisnes dan developer perlu mempunyai satu pendekatan yang lebih jelas selepas sistem dilancarkan.
Apabila sesuatu masalah dilaporkan, jangan terus anggap ia memerlukan perubahan code.
Mulakan dengan beberapa soalan:
- Adakah sistem tidak berfungsi seperti yang dipersetujui?
- Adakah proses yang dipersetujui sebenarnya tidak sesuai dengan operasi semasa?
- Adakah pekerja belum memahami cara menggunakan sistem?
- Adakah terdapat perubahan pada strategi atau keputusan bisnes?
- Apakah kesan perubahan tersebut kepada workflow yang lain?
Jawapan kepada soalan ini akan menentukan tindakan seterusnya.
Kalau bug, developer perlu membetulkannya.
Kalau masalah penggunaan, mungkin perlu ada latihan atau penambahbaikan interface.
Kalau perubahan proses, bincangkan skop, masa dan kos pembangunan semula.
Jangan campurkan semua perkara ini dalam satu kategori bernama support.
Support bukan bermaksud developer perlu menerima semua perubahan tanpa had selepas sistem dilancarkan.
Kedua-dua pihak perlu jelas tentang tanggungjawab masing-masing.
Penutup
Saya tidak fikir pemilik bisnes perlu mempunyai semua jawapan sebelum membangunkan sistem.
Sebahagian perkara memang hanya akan diketahui selepas sistem digunakan dalam operasi sebenar.
Developer juga perlu terbuka kepada maklum balas dan tidak menganggap setiap permintaan perubahan sebagai kesalahan client.
Tetapi hubungan antara pemilik bisnes dan developer perlu mempunyai satu perkara yang jelas: tanggungjawab terhadap keputusan.
Developer bertanggungjawab membina sistem berdasarkan requirement yang dipersetujui.
Pemilik bisnes bertanggungjawab menentukan bagaimana operasi mereka perlu berjalan dan membuat keputusan apabila proses tersebut perlu berubah.
Kedua-duanya perlu bekerjasama, tetapi tanggungjawab itu tidak boleh dicampuradukkan.
Sistem yang baik bukan sekadar sistem yang boleh melakukan apa yang diminta. Ia juga memerlukan pemilik bisnes yang tahu apa yang mereka mahu, mengapa mereka mahukannya dan bersedia bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.
