Buat Website: 7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Bermula
Published:
Updated:
Nak buat website untuk bisnes? Mungkin anda sedang mencari web developer, membandingkan harga pakej website, atau bercadang untuk buat sendiri menggunakan WordPress.
Sebelum bermula, ada beberapa perkara yang anda perlu faham.
Membina website bukan sekadar membeli domain, menyewa hosting dan install software. Anda juga perlu tahu apa tujuan website tersebut, bagaimana ia akan digunakan dan siapa yang akan menguruskannya selepas siap.
Saya akan terangkan beberapa perkara penting yang patut anda tahu sebelum mula membina website, terutamanya jika ini kali pertama anda melabur untuk website bisnes.
1. Tentukan Tujuan Website Anda
Ini perkara pertama yang saya akan tanya sebelum memulakan sesuatu projek website.
Apa sebenarnya tujuan anda membuat website?
Contohnya:
- Nak memperkenalkan syarikat dan servis kepada pelanggan?
- Nak mendapatkan pertanyaan daripada bakal pelanggan?
- Nak menjual produk secara online?
- Nak membolehkan pelanggan membuat tempahan?
- Nak menyediakan platform untuk pelanggan mengurus akaun mereka?
Walaupun semuanya dipanggil website, setiap tujuan ini mungkin memerlukan pendekatan pembangunan yang berbeza.
Sebagai contoh, sebuah syarikat kontraktor mungkin hanya memerlukan website untuk memperkenalkan servis, memaparkan projek terdahulu dan menyediakan saluran pertanyaan melalui WhatsApp.
Tetapi sebuah syarikat yang menjual produk secara online mungkin memerlukan product catalogue, shopping cart, payment gateway dan order management.
Kedua-duanya memerlukan website, tetapi skop kerja dan kos pembangunannya berbeza.
Jangan bermula dengan soalan "Nak guna WordPress atau custom website?"
Bermula dengan soalan "Apa yang saya mahu pelanggan lakukan apabila mereka melawat website ini?"
Jawapan tersebut akan membantu anda menentukan jenis website yang sesuai.
2. Nama Domain: Pastikan Anda Pemiliknya
Domain name ialah alamat website anda.
Contohnya:
- google.com
- facebook.com
- hamizulfaiz.my
Apabila seseorang menaip alamat tersebut di browser, mereka akan dibawa ke website anda.
Ada dua perkara penting yang perlu anda tahu apabila membeli domain.
Pertama, pastikan domain didaftarkan atas nama anda atau syarikat anda
Jangan biarkan domain menjadi milik web developer atau pihak ketiga tanpa sebab yang jelas.
Saya banyak melihat situasi di mana pemilik bisnes membayar untuk website, tetapi domain sebenarnya didaftarkan menggunakan akaun pihak yang membangunkan website tersebut.
Ini boleh menjadi masalah apabila anda mahu bertukar developer atau memindahkan website ke hosting lain.
Anda mungkin terpaksa meminta bantuan pihak lama untuk mendapatkan akses kepada domain sendiri.
Kedua, domain mempunyai tempoh pendaftaran.
Kebiasaannya, domain perlu diperbaharui setiap tahun. Harga pembaharuan pula bergantung kepada extension yang digunakan dan registrar pilihan anda.
Contohnya:
- .com
- .my
- .com.my
- .net
- .org
Jangan hanya melihat harga pendaftaran pertama. Semak juga harga renewal.
Bagaimana nak semak pemilikan domain?
Anda boleh menggunakan WHOIS lookup untuk mendapatkan maklumat pendaftaran domain, termasuk registrar dan tarikh luput.
Untuk domain Malaysia:
Untuk domain umum seperti .com:
Perlu diingat bahawa maklumat pemilik mungkin disembunyikan melalui domain privacy atau polisi perlindungan data. Jadi, tidak semestinya nama pemilik akan dipaparkan secara terbuka.
Cara yang lebih baik ialah memastikan anda sendiri mempunyai akses kepada akaun registrar tempat domain tersebut didaftarkan.
3. Web Hosting: Di Mana Website Anda Disimpan?
Kalau domain ialah alamat rumah, hosting pula boleh dianggap sebagai tempat rumah tersebut dibina.
Web hosting ialah perkhidmatan server yang menyimpan fail dan data website supaya ia boleh diakses melalui internet.
Antara perkara yang biasanya terdapat dalam hosting ialah:
- Website files
- Database
- Email hosting
- SSL configuration
- Server resources
- Backup services
Ada beberapa jenis hosting yang boleh anda pilih.
Shared Hosting
Anda berkongsi sumber server dengan website lain. Biasanya lebih murah dan sesuai untuk website kecil atau blog yang tidak mempunyai keperluan teknikal tinggi.
VPS (Virtual Private Server)
Anda mendapat peruntukan sumber server secara virtual. Lebih fleksibel dan sesuai untuk website yang memerlukan konfigurasi server tertentu.
Cloud Hosting
Menggunakan infrastruktur cloud yang boleh menyediakan fleksibiliti dari segi sumber dan scaling. Kos serta konfigurasi bergantung kepada penyedia perkhidmatan.
Jangan terlalu cepat memilih hosting berdasarkan label Unlimited Storage atau Unlimited Bandwidth.
Anda perlu melihat spesifikasi sebenar, had penggunaan, prestasi, backup, sokongan teknikal dan kos pembaharuan.
Satu lagi perkara yang ramai terlepas pandang ialah hosting dan domain merupakan dua perkhidmatan yang berbeza.
Anda boleh membeli domain daripada satu syarikat dan menggunakan hosting daripada syarikat lain.
Ini bermakna anda tidak perlu terikat dengan satu penyedia hosting sepanjang masa.
4. Software: Apa Yang Digunakan Untuk Membina Website?
Domain dan hosting sahaja tidak menghasilkan sebuah website.
Anda masih memerlukan software untuk membina dan mengurus kandungan website tersebut.
Antara pilihan yang biasa digunakan ialah:
WordPress
WordPress.org merupakan salah satu platform popular untuk membina website.
Ia sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti website syarikat, blog dan website kandungan.
Anda boleh menggunakan theme dan plugin untuk menambah fungsi tanpa perlu membangunkan semuanya dari awal.
Website Builder
Platform seperti Wix dan Squarespace menyediakan kemudahan untuk membina website menggunakan visual editor.
Anda tidak perlu mengurus server sendiri kerana kebanyakan infrastruktur disediakan oleh platform tersebut.
E-commerce Platform
Jika anda mahu menjual produk secara online, terdapat platform seperti WooCommerce, OpenCart dan PrestaShop.
Platform ini menyediakan fungsi yang lebih khusus untuk pengurusan produk, pesanan dan pembayaran.
Custom Website
Pilihan ini sesuai apabila website memerlukan fungsi atau aliran kerja yang lebih khusus.
Contohnya, sistem booking, customer portal, dashboard pengurusan atau integrasi dengan sistem dalaman syarikat.
Custom development tidak semestinya pilihan terbaik untuk semua orang.
Jika WordPress sudah boleh memenuhi keperluan anda, tidak ada sebab untuk membina semuanya dari kosong.
Yang penting ialah memilih teknologi berdasarkan keperluan website, bukan semata-mata kerana sesuatu teknologi itu lebih popular atau nampak lebih canggih.
5. Kandungan Website: Apa Yang Pelawat Perlu Tahu?
Ini antara bahagian yang selalu menyebabkan projek website tertangguh.
Developer sudah bersedia untuk membangunkan website, tetapi kandungan masih belum disediakan.
Contohnya:
- Logo syarikat
- Penerangan tentang bisnes
- Senarai servis atau produk
- Gambar produk atau projek
- Maklumat contact
- Testimoni pelanggan
- Soalan lazim
Kandungan bukan sekadar bahan untuk mengisi ruang kosong dalam website.
Ia membantu pelawat memahami perniagaan anda dan menentukan sama ada mereka mahu berurusan dengan anda.
Bayangkan sebuah syarikat renovation mempunyai website yang cantik, tetapi tidak menunjukkan contoh projek, jenis servis atau kawasan perkhidmatan.
Pelawat mungkin masih tidak tahu sama ada syarikat tersebut sesuai untuk keperluan mereka.
Sebab itu saya selalu melihat website daripada sudut pengalaman pengguna.
Apa yang pelanggan nak tahu? Apa yang mereka perlu tengok? Dan apakah tindakan seterusnya yang kita nak mereka lakukan?
Jika website bertujuan mendapatkan pertanyaan, pastikan maklumat servis dan cara menghubungi anda mudah ditemui.
Jika website bertujuan menjual produk, pastikan maklumat produk, harga dan proses pembelian jelas.
Website yang cantik sahaja tidak cukup. Kandungannya juga perlu menjalankan tugas.
6. Security, Backup dan Maintenance
Website yang sudah siap bukan bermaksud kerja anda selesai sepenuhnya.
Website masih memerlukan penjagaan selepas dilancarkan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
SSL Certificate
SSL membolehkan sambungan antara browser dan website menggunakan HTTPS. Ini penting untuk melindungi data yang dihantar melalui website.
Software Updates
Jika anda menggunakan WordPress, theme dan plugin perlu dikemas kini dari semasa ke semasa.
Update bukan sekadar untuk mendapatkan fungsi baharu. Ia juga boleh mengandungi pembaikan keselamatan.
Backup
Pastikan website mempunyai backup yang boleh digunakan untuk pemulihan sekiranya berlaku masalah.
Jangan bergantung kepada satu salinan backup yang berada dalam server sama sahaja.
Security Monitoring
Pastikan website mempunyai perlindungan yang sesuai mengikut jenis website dan risiko penggunaannya.
Website biasa yang hanya memaparkan maklumat syarikat mungkin mempunyai keperluan berbeza berbanding website e-commerce yang menyimpan rekod pesanan pelanggan.
Sebelum bersetuju dengan mana-mana pakej website, tanya juga siapa yang akan menguruskan perkara ini selepas website siap.
Adakah semuanya termasuk dalam pakej? Atau anda perlu menguruskannya sendiri?
7. Mobile Experience, SEO dan Website Tracking
Kebanyakan pemilik bisnes mahu website mereka muncul di Google.
Tetapi ada beberapa perkara yang perlu disediakan supaya website boleh ditemui dan digunakan dengan baik.
Mobile Responsive
Website perlu boleh digunakan dengan selesa melalui telefon, tablet dan komputer.
Jangan hanya memeriksa design website melalui desktop. Cuba buka menggunakan telefon dan lihat sama ada teks, gambar, menu dan butang berfungsi dengan baik.
SEO (Search Engine Optimization)
SEO membantu search engine memahami kandungan website anda.
Antara perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah:
- Page title dan meta description
- Heading structure
- URL yang mudah difahami
- Kandungan yang relevan
- Internal linking
- Sitemap dan indexing
Perlu difahami bahawa website yang mempunyai SEO asas tidak bermaksud ia akan terus mendapat ranking tinggi di Google.
Ranking bergantung kepada banyak faktor termasuk persaingan keyword, kualiti kandungan dan relevansi website terhadap carian pengguna.
Website Tracking
Jika anda menggunakan website untuk mendapatkan pelanggan, tracking juga penting.
Contohnya:
- Google Analytics 4 (GA4)
- Google Search Console
- Meta Pixel
- TikTok Pixel
Tools ini membantu anda memahami bagaimana pelawat menemui website, halaman yang mereka lawati dan tindakan yang mereka lakukan.
Jika anda menjalankan iklan, tracking boleh membantu anda menilai prestasi kempen dengan lebih baik.
Tidak semua website memerlukan semua tracking tools tersebut. Pilih berdasarkan saluran pemasaran yang anda gunakan.
Berapa Kos Sebenar Untuk Buat Website?
Ini soalan yang selalu ditanya.
Sebenarnya, kos membuat website mempunyai dua bahagian utama:
- Kos infrastruktur.
- Kos pembangunan.
Kos infrastruktur termasuk domain, hosting dan perkhidmatan tambahan yang diperlukan untuk memastikan website boleh beroperasi.
Kos pembangunan pula melibatkan kerja seperti:
- Perancangan struktur website
- Design dan layout
- Copywriting dan penyediaan kandungan
- Setup software
- Development dan konfigurasi
- Testing dan deployment
Sebagai contoh, anda mungkin membelanjakan beberapa ratus ringgit setahun untuk domain dan hosting.
Tetapi itu tidak bermaksud sebuah website profesional boleh dibina dengan kos yang sama.
Anda perlu membezakan antara harga bahan dan kos kerja untuk menghasilkan sesuatu produk.
Bayangkan anda membeli bahan untuk membina sebuah kabinet. Harga kayu dan perkakasan bukanlah harga kabinet yang sudah siap.
Begitu juga dengan website.
Anda bukan sekadar membayar untuk domain dan hosting. Anda juga membayar masa, kemahiran, pengalaman dan kerja yang diperlukan untuk menghasilkan website tersebut.
Kenapa Harga Website Berbeza-Beza?
Sebuah landing page yang hanya mempunyai satu halaman tentunya mempunyai skop berbeza berbanding website syarikat yang mempunyai banyak halaman.
Begitu juga website e-commerce yang memerlukan product management, payment gateway dan order management.
Antara faktor yang mempengaruhi harga ialah:
- Bilangan halaman
- Tahap custom design
- Copywriting dan penyediaan kandungan
- Fungsi yang diperlukan
- Integrasi dengan sistem lain
- SEO dan tracking configuration
- Testing dan deployment
Sebab itu saya tidak menggalakkan anda membandingkan harga berdasarkan jumlah halaman semata-mata.
Bandingkan juga skop kerja dan hasil yang akan anda terima.
Buat Website Sendiri Atau Upah Web Developer?
Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
Jika anda mempunyai masa untuk belajar dan website yang diperlukan agak ringkas, membina website sendiri boleh menjadi pilihan yang baik.
Anda boleh mencuba WordPress atau website builder untuk memulakan website tanpa perlu membangunkan semuanya dari kosong.
Tetapi anda perlu bersedia untuk belajar perkara seperti domain configuration, hosting setup, design, content management dan troubleshooting.
Jika anda tidak mempunyai masa atau memerlukan website dengan fungsi tertentu, mendapatkan bantuan web developer mungkin lebih praktikal.
Developer boleh membantu dari segi perancangan, pembangunan, konfigurasi dan deployment.
Cuma ada satu perkara yang saya mahu tekankan.
Jangan pilih developer berdasarkan harga paling murah sahaja.
Sebelum membuat keputusan, lihat juga portfolio, cara mereka memahami keperluan anda, skop kerja yang ditawarkan dan sokongan selepas website siap.
Website anda mungkin akan digunakan untuk menyokong operasi bisnes dalam jangka masa panjang. Jadi, pastikan anda tahu apa yang anda bayar dan apa yang anda akan miliki.
5 Perkara Yang Perlu Ditanya Sebelum Upah Web Developer
Sebelum anda bersetuju dengan mana-mana quotation, saya cadangkan anda bertanya beberapa soalan ini:
1. Adakah domain didaftarkan atas nama saya?
Pastikan anda mempunyai akses kepada akaun pendaftaran domain.
2. Siapa yang memiliki akses kepada hosting?
Anda perlu tahu di mana website disimpan dan bagaimana untuk mendapatkan akses jika mahu berpindah hosting.
3. Apa yang termasuk dalam harga pembangunan?
Adakah design, content, SEO asas, tracking dan setup termasuk dalam quotation?
4. Adakah saya boleh menguruskan website sendiri selepas siap?
Pastikan anda tahu bagaimana untuk mengubah kandungan, gambar dan maklumat yang diperlukan.
5. Apa yang berlaku selepas website dilancarkan?
Tanya tentang warranty, bug fixing, maintenance dan sokongan teknikal.
Anda tidak semestinya perlu memahami semua perkara teknikal untuk memiliki website.
Tetapi anda patut tahu siapa yang mengawal aset digital anda dan bagaimana ia akan diuruskan.
Kesimpulan
Membina website sebenarnya tidaklah sesukar yang anda bayangkan.
Anda boleh bermula dengan domain, hosting dan platform yang sesuai. Tetapi sebelum memilih semua itu, pastikan anda tahu tujuan website dan apa yang anda mahu capai dengannya.
Jika anda mahu membina website sendiri, mulakan dengan projek kecil dan belajar secara berperingkat.
Jika anda mahu mendapatkan bantuan developer, pastikan mereka memahami keperluan bisnes anda, bukan sekadar menjual pakej website.
Sebuah website sepatutnya membantu perniagaan anda, bukannya menjadi satu lagi perkara yang menyusahkan untuk diuruskan.
Nak Bina Website Untuk Bisnes Anda?
Jika anda sedang mencari seseorang untuk membantu membina website bisnes, saya menyediakan servis pembangunan landing page bermula RM799.
Sesuai untuk bisnes yang mahu mempunyai satu halaman profesional bagi memperkenalkan produk atau servis, menerangkan tawaran dan mendapatkan pertanyaan pelanggan.
Anda boleh lihat skop servis dan pakej di sini:
Jika masih belum pasti sama ada anda memerlukan landing page atau website penuh, kita boleh bincangkan keperluan anda terlebih dahulu.